Yang Ikut

Wednesday, 25 August 2010

Memasang bendera tidak semestinya nasionalis

Reactions: 
Entah mengapa, sejak sekian lama aku tidak percaya bahawa memacakkan bendera di atas bumbung kereta atau motosikal, atau menghiasi kenderaan dengan Jalur Gemilar sebagai sesuatu yang bersifat nasionalis. Bagi aku, perbuatan seumpama itu tidak lebih dari satu pesta sahaja.

Lihat sahaja - perbuatan itu selalu sahaja muncul setiap bulan Ogos. Di pintu tol akan ada orang membahagikan bendera. Di premis perniagaan, akan ada orang menghantarkan bendera untuk dipasang. Mengapa harus memasang bendera?

Lihat pula - anak-anak muda kita yang memasang bendera ini, berarak panjang dengan motosikal sampai jam 2 atau 3 pagi setiap malam 31 Ogos, membuat bising di tengah jalan. Anak-anak muda ini, ada yang mungkin masih bersekolah, merayakan sesuatu yang mereka namakan sebagai merdeka. Mereka ini pula adalah anak-anak yang merempit. Ada yang membawa bersama pasangan bukan muhrim di tengah malam. Merdekakah ini?

Mengapa pula hanya anak Melayu sahaja. Anak orang lain tidak menyambut merdeka, atau mereka belum merdeka. Atau barangkali mereka sudah lama merdeka, tetapi kita yang belum?

Mengapa pula harus ada begitu banyak konsert menyanyi di setiap bandar, disiar langsung di dalam televisyen. Merdekakah ini?

Merdeka bukan begitu. Nasionalis juga bukan begitu. Nasionalis itu tertanam teguh di dalam jiwa. Mencintai bahasa Melayu itu nasionalis. Tidak mengikut budaya pelik hedonisme yang tidak tahu asal usul itu nasionalis. Menghafal prinsip Rukunegara itu nasionalis.

Tanyalah anak-anak muda yang riuh memasang bendera ini berapa prinsip rukunegara yang kita ada? Tanyalah mereka siapa pejuang yang berperang melawan Inggeris atau Belanda. Tanyalah mereka bagaimana negara ini mendapat merdeka. Itulah nasionalis.

Tahukah mereka. Kalau tidak tahu, itu tandanya mereka bukan nasionalis.

Tidak membiarkan pendatang asing masuk tanpa jalan yang betul itu nasionalis. Tidak menjual harta negara itu nasionalis. Tidak melakukan rasuah itu nasionalis. Tidak menjadi manusia jahat itu nasionalis.

Menghormati ibu ayah itu nasionalis. Tidak membuang anak di tepi jalan itu nasionalis. Tidak menghisap ganja dan menagih ice itu nasionalis.

Nasionalis bukan memasang bendera di atas kereta, dan berarak panjang membuat bising di tengah malam. Itu pekerjaan berseronok. Sama sukanya dengan orang bermain mercun di tengah malam tanpa tahu asal usul mercun.

Siapa yang menjual bendera, siapa pula yang memasangnya? Kalau kita tahu jawapannya, kita akan tahu bahawa nasionalis itu bukan pada bendera. Bendera sudah menjadi barang komersil untuk membuat laba perniagaan.

1 comment:

mizi said...

betul boss..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails