Yang Ikut

Monday, 30 August 2010

Salam hari merdeka

Reactions: 
Selamat menyambut hari kemerdekaan negara.

Benar, ada banyak hal yang tidak kita suka dengar mengenai negara kita. Tetapi, itulah negara kita. Benar, ada negara lain yang lebih baik dari bumi kita. Tetapi itu negara orang lain. Suka atau tidak - kita wajib sayangkan negara kita.

Hari ini - setiap hari pelajar kita dihantar ke luar negara. Banyak daripadanya dihantar dengan menggunakan dana kerajaan - atau dalam istilah paling tepat - ia menggunakan wang rakyat. Wang itu mungkin datangnya dari kenaikan harga gula atau semakin tingginya harga minyak. Dana itu mungkin datangnya dari hasil cukai barang yang emak ayah kita beli di kedai Pak Mat. Wang itu mungkin datangnya dari penat lelah orang tua kita menoreh getah jam 5 pagi dan pulang jam 1 tengahari.

Jadi - sama ada anda suka atau tidak, wang itu datang dari penderitaan orang lain. Kita mungkin tidak sedar mengenainya. Sebaik sahaja bersekolah, kita diberikan wang saku oleh emak dan ayah. Sebaik sahaja membuat A level, kita ditaja oleh wang yang datang dari kesusahan orang lain. Sebaik sahaja mendaftar ijazah pertama di universiti ternama luar negara - wang itu sebenarnya telah menyebabkan beberapa subsidi yang patut diterima orang kampung semakin menyusut. Semua itu bukan wang kita. Wang orang lain.

Jadi - siapa pun kita, pensyarah atau doktor, jurutera atau pakar mengira wang - kita tidak akan mampu ke luar negara dengan wang poket sendiri. Hanya beberapa orang sahaja yang mampu.

Sebaik sahaja tamat belajar - apabila kita mempunyai gelar, jangan memandang orang lain dengan mata yang serong. Jangan anggap kampung kita sangat hodoh kerana kita hidup di rumah yang cantik di bawah cuaca sejuk. Jangan anggap kerana tempat kita banyak ragut, atau setiap hari orang berbunuhan, negara kita sangat jelik. Negara jelik itulah yang telah menghantar kita sampai ke India, Mesir, Amerika, UK, Kanada atau Australia. Jadi, sebaik sahaja tamat - kalau anda ditaja - pulanglah. Pulang untuk membantu orang yang telah menghantar kita - yakni rakyat jelata.

Benar - kita mudah mendapat kerakyatan di negara luar, atau mudah diterima kerja yang baik kerana kita belajar tinggi dan ada ijazah beberapa keping. Ingat, kita tidak akan ada semua itu kalau sebelumnya tidak ada orang lain menghantar kita.

Benar, gaji di negara kita kecil. Kecil pun tidak mengapalah. Kita mungkin membantu sesama kita. Kita mungkin dapat menolong orang kampung menyelesaikan masalah yang mereka hadapi. Kita tidak tahu selagi kita tidak bersama mereka.

Kalau semua orang pintar seperti kita, orang bijak seperti anda - tidak pulang ke Malaysia, nanti negara kita akan sesak dengan orang jahat. Kalau kita tidak pulang, nanti majoriti orang baik akan hilang. Yang tinggal mat rempit dan penagih. Yang tinggal tukang rasuah dan penyamun. Jadi pulanglah.

Jangan hanya asyik menyalahkan penjajah yang sudah lama meninggalkan kita kalau negara kita berkecamuk. Jangan hanya asyik berkata banyak sangat halangan untuk kita menghidupkan agama. Kalau bukan kita yang pulang menghidupkannya, anak-anak muda yang jiwanya kacau itu belum tentu dapat menghidupkannya.

Sesekali - di hari merdeka ini - kita semua, termasuk aku - mencermin diri sendiri. Itulah nasionalisme sebenar.

Salam hari merdeka. Salam hari merdeka.

Itu pun kalau kita sudah merdeka.

9 comments:

ziarah76 said...

mari cermin diri

ihsan_huhu said...

fuh best!

ainishamsi said...

mantap!

isuzu_aizu said...

terima kasih kerana tulisan ini telah mencetuskan suatu idea untuk saya buat mulai esok. salam merdeka :)

chah said...

mendeka!

kami tunggu hang balik dengan sabaq...:)

Anonymous said...

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
bersatu dan maju,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
selamat bertakhta,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan.
Raja kita
selamat bertakhta

"kecik besar..kecik besar.."

ajaq said...

aku lupa lagu bahtera merdeka...

theblabber. said...

agreed!! saya sangat setuju. saya pun tak faham dgn student (undergrad especially) yg mengeluh atas setiap apa yg ada di negara kita.

saya pernah menulis pasal hal ini dulu, dan rasanya ramai setuju dgn pendapat anda.

oh,really cant wait utk balik ke negara bergaji kecil itu. nothing beats home :)

WanBeruas said...

..salam,komen tuan walaupun singkat..tapi padat dan tepat..terima kasih..terima kasih dan terima kasih..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails