Yang Ikut

Sunday, 14 November 2010

Histeria - mengapa berjangkit?

Reactions: 
Seorang pembaca Ahmad Khairi mengirimkan emel memintakan aku mengulas hal histeria. Soalan ini mungkin lebih sesuai ditanya kepada ahli psikologi klinikal atau pakar psikitiari. Bagaimana pun, bagi memenuhi permintaan beliau, aku akan cuba menjawabnya secara umum berdasarkan pandangan psikologi. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan bagi hal psikologi yang lain, sila emailkan.

*****************
Salam FakirFikir,

Saya ingin meminta ulasan FakirFikir mengenai topik ini (melalui konteks psikologi) yang kerap jadi laporan di media di Malaysia.
Antara perkara yang boleh dibincangkan:
i) kerap berlaku di sekolah (tempat yg ramai orang berkumpul)
ii) berlaku di siang hari
iii) kerap berlaku kepada perempuan (ada juga lelaki yg terkena)
iv) bermula dengan seorang atau sekumpulan kecil dan merebak kepada lebih ramai
v) berlaku banyak kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam
vi) sembuh atau kurang selepas rawatan tradisional

***********************

I

HISTERIA

Histeria bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi ia ada di seluruh dunia.

Walaupun kita mungkin selalu membayangkan bahawa majoriti wanita akan terkena histeria, hakikatnya banyak kajian awal melibatkan histeria ini adalah golongan lelaki, khususnya tentera yang terlibat dengan Perang Dunia Pertama. Kebanyakan tentera ini mengalami trauma dalam peperangan.

Ia adakalanya berangkai kepada teman-teman mereka yang lain. Kebanyakan mereka, kalau boleh ingin lari dari medan perang. Salah seorang doktor tentera dari Peranchis, Jean-Martin Charcot (1825–1893) - adalah antara salah seorang yang selalu dirujuk apabila bercakap hal histeria. Kemudiannya Joseph Babinski (1857–1932), anak murid kepada doktor Peranchis tadi yang menjadi pelopor pengubatan histeria.

Di India - pada tahun 2001 - berlaku histeria yang besar. Ia melibatkan lebih 397 orang. Ia bermula di Uttar Paradesh. Kemudiannya merebak hingga ke kawasan Delhi Timur. Apa yang orang histeria ini nampak? Mereka kononnya melihat 'monyet jelmaan' yang asalnya dari monyet yang tiba-tiba berubah menjadi manusia monyet. Berita ini telah menjadi tajuk utama akhbar. Ia tidak berlaku di siang hari. Banyak laporan ia berlaku di antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi. Jadi, masa bukan penentu utama kejadian histeria.

Kerana monyet juga sebahagian dari latar dalam kehidupan masyarakat India - tidak pastilah sama ada apa yang mereka nampak itu berkait dengan kehidupan mereka.


Pada Julai 1518, di Strasbourg, Peranchis selama sebulan, orang ramai tiba-tiba menari tanpa henti, dan tanpa rehat setiap hari. Tidak ada sesiapa boleh membayangkan apa yang berlaku. Ia bermula dengan seorang wanita. Kemudiannya merebak kepada 34 orang. Kemudiannya bertambah kepada 400 orang. Beberapa orang telah mati kerana kepenatan dan sakit jantung. Sampai sekarang, punca histeria ini masih menjadi misteri.

Dalam kejadian di India itu - banyak yang diserang histeria itu lelaki dan bukan wanita. Bagaimana pun, secara umumnya gejala histeria ini melibatkan wanita.

II
Histeria dan wanita

Dalam kejadian di sebuah kilang di Melaka, di antara tahun 1977-78, berlaku lebih 40 kali kes 'histeria 'di tempat yang sama, kebanyakannya ialah pekerja yang terlibat dengan pengeluaran. Semuanya ialah pekerja wanita Melayu. Seperti dalam banyak kes, apabila seorang dirasuk histeria, ia kemudiannya merebak kepada orang lain. Bagaimana pun, pekerja yang tidak dirasuk melaporkan bahawa mereka tidak begitu berani mendekati mereka yang dirasuk ini. Kononnya, seolah-olah pesakit ini ada 'kekuatan' yang luar biasa. Kejadian rasuk ini tidak pula terjadi ke atas pekerja wanita kaum Cina dan India.

Dalam pada itu - dilaporkan juga bahawa pekerja wanita di Melaka yang dilanda histeria ini ada masalah disiplin yang lain. Bagaimana pun, mereka tidak dibuang memandangkan pihak majikan menjangkakan masalah itu berlaku tanpa sukarela, memandangkan mereka ini sering dirasuk dan sebagainya.

Temuduga yang dilakukan selepasnya mendapati pesakit ini menyifatkan pengurusan sebagai tidak mementingkan kebajikan pekerja, memberi gaji yang rendah dan bersifat menekan. Ada juga pekerja yang menyatakan bahawa kilang ini tidak 'dibersihkan' dengan makhluk halus dan sebagainya. Malah ada yang menyatakan bahawa pekerja Cina dan India lebih 'kuat' kerana mereka memakan daging babi. Kebanyakan pesakit percaya bahawa terdapat 'semangat' yang menetap di takungan air di kilang tersebut. Inilah yang menjadi punca mereka dirasuk.

Ada juga kejadian lain dilaporkan di sebuah sekolah dan universiti. Kejadian di universiti ini berlaku ke atas atlet sukan yang pada waktu itu sedang giat untuk bertanding.

III

Mengapa orang terdedah dengan histeria?

Ada dua pandangan. Di kalangan pakar perubatan, puncanya mungkin kerana sistem nervous atau sistem saraf. Sebab itulah, di masa silam, pesakit histeria dikenakan kejutan elektrik, atau disuntik dengan ubat tertentu. Di kalangan ahli psikologi, mereka mengaitkan histeria dengan faktor psikologikal.

Bagi tentera yang berperang, trauma perang itu dianggap puncanya. Bagi orang lain, mungkin disebabkan tekanan atau kebimbangan tertentu.

Dalam kes kilang tadi, faktor tekanan itu berpunca dari gaji yang rendah atau pengurusan yang terlalu menekan. Di kalangan pelajar universiti itu pula, ia mungkin berkait dengan acara sukan. Bagi kebanyakan pelajar, ia mungkin berpunca dari tekanan peperiksaan dan sebagainya. Pandangan ini ialah dari perspektif psikologi. Kalau ditanya kepada bomoh atau pakar perubatan tradisional, jawapan lain mungkin diberikan.

Dalam kes di India - ia berlaku di kalangan mereka yang miskin, berpendapatan rendah dan hidup di kawasan padat penduduk. Ada pula kes lain di Barat - beberapa pesakit yang kerap diserang histeria ini bermula dengan alam anak-anak yang tidak membahagiakan, ibu bapa bercerai dan sebagainya.

Kejadian histeria ini boleh berlaku di mana sahaja. Tidak semestinya di tempat yang ramai orang seperti di sekolah atau di tempat kerja. Cuma, apabila ia melibatkan ramai orang, maka ia lebih mudah menjadi bahan berita berbanding kalau ia berlaku kepada seorang individu di rumah. Itu sahaja yang membezakan kes ini.

Dalam masyarakat kita pula, kita percaya remaja wanita yang haid lebih mudah diserang kerana kononnya jin dan makhluk halus suka dengan darah haid. Hakikatnya mungkin berbeza dari perspektif psikologi. Mereka yang haid mungkin berada dalam emosi yang tidak stabil, menyebabkan fikiran mereka lebih mudah terganggu.


IV
Mengapa pula ia berjangkit kepada orang lain? Mengapa hanya Melayu sahaja, dan bukan Cina dan India?

Anda tentu pernah membaca hal contagion effect di laman ini. Kita tentu pernah menghadiri majlis kematian seseorang. Kita bersedih dengan kematian. Tetapi, kebiasaannya kita bukan bersedih kerana kematian. Kita bersedih dan sebak apabila melihat orang lain menitiskan air mata. Kita berasa sayu melihat semua orang dalam keadaan muram. Inilah contagion effect. Punca utama mungkin bukan kematian, tetapi kerana kita sebak melihat orang lain.

Hukum yang sama dikatakan berlaku ke atas pesakit histeria. Orang yang pertama diserang histeria - mungkin mengalami halusinasi tertentu, misalnya melihat makhluk yang menakutkan. Makhluk ini mungkin tidak wujud - cuma sekadar khayalan dalam pemikiran. Ia mungkin kerana mereka sedang tertekan. Hal ini ditambah dengan kepercayaan dalam diri terhadap makhluk halus yang sentiasa wujud dalam diri.
Self fulfilling prophecy ini mempercepatkan lagi proses diserang histeria. Mereka akan nampak makhluk asing lebih dulu dari orang lain kerana mereka telah mempercayainya. Kalau kita mempercayai ada hantu di malam Jumaat, kita akan lebih cepat terkejut melihat lembaga hitam pada malam itu berbanding dengan malam lain.

Contagion effect ini berlaku kerana orang yang melihat pesakit histeria turut panik. Kerana semua orang meraung ketakutan, orang lain tumpang takut sama. Seolah-olah halusinasi orang pertama tadi wujud. Hal ini dipindahkan pula kepada orang lain. Yang tidak dapat diterangkan hanyalah kenapa emosi orang lain dipindahkan pula kepada manusia lain. Kajian mendapati gambaran yang menakutkan oleh pesakit tidak sama di antara seorang dengan orang lain - walaupun mereka semuanya mengalami kerasukan ini.

Dalam kes di India - contagion effect itu dipindahkan melalui berita akhbar dan cakap-cakap orang.

Banyak pula kes histeria ini berlaku ke atas orang yang taraf hidupnya rendah, seperti dalam kes di India dan pekerja kilang tadi. Kebanyakan pekerja wanita atau pelajar sekolah, dalam konteks Malaysia mungkin percaya bahawa diri mereka lemah. Ia adalah hal yang berkaitan budaya. Hasilnya mereka tidak mempunyai kepercayaan diri. Mereka mudah diserang histeria atau terjangkit kerana kurangnya keyakinan diri.

Mengapa hanya orang Melayu? Kajian mendapati bahawa orang Melayu memang mempunyai self esteem yang rendah berbanding dengan bangsa lain. Dalam konteks histeria, ia semakin mudah berlaku kerana kita memang sudah ditanamkan dengan semangat jin dan puaka sejak dari kecil. Kepercayaan inilah yang menyebabkan kita lebih cepat 'dirasuk' berbanding orang lain. Sedangkan hakikatnya, ia mungkin bukan satu kejadian rasukan.

Tetapi dalam budaya kita - istilah histeria ini mungkin masih baru. Kita lebih banyak mengaitkannya dengan 'rasukan hantu' bagi menerangkan fenomena ini.

Mengapa apabila dirawat secara tradisional - pesakit sembuh atau berkurangan?

Sebenarnya ia berkait dengan budaya kita juga. Tergantung dengan apa yang kita yakini, dan dengan siapa kita berubat. Di dunia barat, mereka dirawat oleh doktor - dan penyakit ini hilang juga. Di India, mereka mungkin berubat menggunakan cara mereka. Ia hilang dan sembuh juga.

Dalam konteks kita - kerana kita mengaitkan histeria ini sebagai ada hubung kait dengan semangat mistik - maka kita terlebih dahulu memanggil bomoh untuk merawat. Ia hilang mungkin kerana pesakit percaya bahawa pakar tadi mampu mengawal makhluk dari luar itu. Bagi kita, hilang atau tidak sesuatu penyakit sebenarnya ialah pekerjaan Tuhan.

Itulah sedikit sebanyak pandangan dari perspektif ilmu Barat. Pandangan ini mungkin lain kalau ditanya kepada orang lain, dari perspektif ilmu yang lain.

Semoga ia menjawab pertanyaan pembaca tadi.

4 comments:

fitri zuberi said...

teringat kejadian histeria di sekolah dulu. pelajar perempuan pura2 terkene histeria semata2 untuk diubati seorang senior lelaki yang kacak yang katanya boleh mengubat orang terkena histeria

mangkuk statik said...

fitri zuberi: adakah senior lelaki itu aku?

fakir fikir: wow! Tenkiu atas explanation yg ilmiah ttg hysteria. Aku dah lama terfikir2 pasal histeria ni. Walaubagaimanapun, kekurang-percayaan anda terhadap jin agak merungsingkan.
Semoga ada bomoh2 yg terbaca blogpost ini dapat menghantar sekor dua jin or toyol ke rumah anda, sebagai eksperimen terhadap "self-esteem" anda. Untung2 ada contagion effect terhadap penghuni rumah anda yg lain!
Itu baru blogpost yg sensasi!
Sekian.

FakirFikir said...

To Sdr MangkukStatik - contagion itu pula mungkin akan terkena kepada anak dan isteri hang yang selalu melepak kat rumah aku.

mangkuk statik said...

1.Aku baca blog Hang ni pon nak kene contagion efect kene sawan babi. Puas aku cari, kat mana komen aku aritu. Apsal takde kat bawah post ni.Sekali tengok kat atas sekali!
2. Aku ingatkan kau dah boh ilmu pedinding, tak kasi org komen. Nasib baek aku kasyaf gak sikit2, boleh menembusi pendinding kau!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails